Ahad, 19 Oktober 2014





DEMOKRASI BERPARLIMEN

Kerajaan Demokrasi Berparlimen diperkenalkan di Malaysia buat pertama kalinya apabila Majlis Persekutuan (Federal Council) ditubuhkan pada tahun 1909. Pada tahun 1927, majlis ini telah mengalami sedikit perubahan, bentuk asal majlis ini masih dikekalkan, tetapi Raja atau Sultan tidak lagi menjadi ahli dan digantikan dengan lebih ramai wakil yang dilantik dari pelbagai sektor dan pegawai-pegawai pentadbir British. Pada tahun 1951, sistem baru yang diberi nama Sistem Ahli (Member system) telah diperkenalkan. Sistem Ahli ini merupakan satu mini kabinet kerana ahli-ahli yang mengetuainya bersifat seorang menteri. Ini merupakan satu peralihan pentadbiran dan satu langkah positif yang biasa dilakukan oleh British kepada tanah jajahannya.

Demokrasi Berparlimen  ialah corak kerajaan yang memberi peluang kepada rakyat melibatkan diri dalam sistem perlembagaan negara. Dengan mengamalkan demokrasi berparlimen, rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya, maka mereka bolehlah menyokong, mengekalkan atau menukarkan kerajaan yang sedia ada melalui pilihan raya. Ini membawa makna Demokrasi Berparlimen adalah corak kerajaan yang bergantung pada persetujuan ramai. Suara rakyat adalah amat penting dalam sistem pemerintahan atau pentadbiran  ini dapat kami lihat dari slogan “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat” yang telah digunapakai dalam sistem pemerintahan Malaysia. Selain daripada itu, undang-undang juga digubal oleh rakyat ataupun perwakilan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

Pihak yang terlibat dalam pilihan raya di negara kita ialah Suruhanjaya Pilihan Raya, calon dan pengundi. Pilihan raya dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), SPR yang bertanggungjawab untuk memelihara, menyelia, dan mengekalkan proses demokrasi negara. SPR akan menguruskan pendaftaran pengundi dan penyemakan daftar nama pengundi. Proses memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur. SPR adalah badan bebas tanpa tekanan dari pihak parti pemerintah atau pembangkang, keanggotaannya dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong. SPR bertindak menetukan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya, menjalankan pendaftaran dan mengendalikan pilihan raya.

Pilihan raya umum diadakan 5 tahun sekali, dengan bertujuan memilih ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri serentak seluruh negara. Pilihan raya kecil akan diadakan apabila berlaku kekosongan kerusi di mana-mana kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri disebabkan kematian, perletakan jawatan dan pelucutan jawatan. Selepas kekosongan itu, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam masa 60 hari di Semenanjung Malaysia, dan 90 hari bagi Sabah dan Sarawak. Pilihan raya umum pula bermula apabila Parlimen dibubarkan oleh Yang Di-pertuan Agong, dan penetapan tarikh dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian akan dilakukan oleh SPR. Selepas penamaan calon dilakukan, kempen pilihan raya akan bermula, dan tempoh berkempen adalah antara 7 hingga 15 hari sahaja. Apabila tiba hari pengundian, rakyat yang telah berdaftar akan diberi kertas undi yang mengandungi lambang parti calon yang bakal dipilih kepada pengundi di tempat mengundi. Pengundi akan memangkah calon pilihan raya pada kertas undi dan memasukkan ke dalam peti undi. Seterusnya ialah proses pengiraan undi, dan Pegawai Pilihan Raya yang akan mengumumkan keputusan pilihan raya. Undi yang terbanyak adalah pemenang, dan parti yang menang majoriti akan membentuk sebuah kerajaan.

Seseorang yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya mestilah warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas, beliau bukan orang yang muflis[1], tidak memegang jawatan dalam perkhidmatan awam, serta tidak disabit dengan sesuatu kesalahan oleh mahkamah. Calon-calon dalam sesuatu pilihan raya boleh bertanding atas nama parti atau atas nama individi sebagai calon bebas. Pengundi pula adalah warganegara yang telah berumur 21 tahun dan namanya telah didaftarkan dalam Senarai Daftar Pemilih. Pengundi hanya boleh mengundi dalam sebuah kawasan pilihan raya sahaja, iaitu kawasan pilihan raya tempat tinggalnya. Perlembagaan membenarkan anggota pasukan keselamatan, pelajar luar negara dan pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara mengundi melalui pos dengan syarat nama mereka telah daftar sebagai pengundi.

           
RAJA BERPERLEMBAGAAN

Sistem Raja Berperlembagaan pula adalah suatu sistem pemerintahan yang mengekalkan raja sebagai pemerintahan tertinggi mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Pemerintah iaitu Yang Di-Pertuan Agong akan dilantik oleh Raja-raja Melayu dan dibantu oleh Perdana Menteri. Yang Di-Pertuan Agong bertindak nasihat Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Malaysia. Baginda tidak boleh bertindak sendirian kecuali perkara yang memerlukan budi bicara baginda. Yang Di-Pertuan Agong merupakan tonggak keagungan Malaysia dan juga simbol perpaduan rakyat sejak merdeka hingga kini. Baginda dipilih daripada kalangan 9 Raja Melayu secara bergilir-gilir mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu: Negeri Sembilan – Selangor – Perlis – Terengganu – Kedah – Kelantan – Pahang – Johor – Perak. Yang Di-Pertuan Agong selain daripada memberi keseimbangan kepada raja yang menaungi rakyat dan rakyat yang dinaungi raja, baginda juga membantu memantapkan kewibawaan institusi beraja di Malaysia.

Malaysia telah memilih mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan. Maka Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara[2] Malaysia. Selain itu, Malaysia juga merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berasaskan sistem Persekutuan. Ini bermakna, semua negeri yang terdapat di Malaysia telah bersetujui dengan konsep penubuhan negara Malaysia. Dan setiap negeri yang terbabit akan menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti pertahanan, pelajaran, kewangan dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia (ditadbir oleh Kerajaan Pusat). Ia telah tercatat ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa. 

Perlembagaan negara kami telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem Demokrasi Berparlimen. Pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan adalah salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen. Tiga bahagian tersebut iaitu Badan Pemerintah (Eksekutif), Badan Perundangan (Legislatif) dan Badan Kehakiman (Judsiari). Kuasa, bidang tugas dan peranan bagi ketiga-tiga badan ini adalah berrlainan. Namun begitu, Badan Pemerintah dan Badan Perundangan saling berkait antara satu sama lain, ini disebabkan negara kami Malaysia mengamalkan sistem kerajaan di mana ahli-ahli Badan Pemerintah adalah juga ahli-ahli Badan Perundangan. Bagi menjamin keadilan di negara Malaysia, Badan Kehakiman sahaja merupakan sebuah badan yang berasingan dan bebas dari politik.

Berikut adalah cara operasi ketiga-tig Badan yang utama di Malaysia, dan marilah kita bersama-sama mengkaji dan melihat dengan lebih terperinci lagi bagaimanakah Badan Pemerintah dan Badan Perundangan saling berkait antara satu sama lain, dengan Raja Berperlembagaan pula, setinggi atau sepenting manakah Yang Di-pertuan Agong memainkan peranannya.


Badan Pemerintah (Eksekutif)

Badan Pemerintah terdiri daripada Jemaah Menteri atau kabinet yang merupakan Badan pelaksana dasar kerajaan. Ia merupakan juga badan yang bertanggungjawab melaksanakan kuasa-kuasa eksekutif mengikut undang-undang dan Perlembagaan, badan ini tidak boleh mengubal undang-undang dan urusan penghakiman. Kuasa memerintah negara Malaysia adalah terletak pada Yang Di-pertuan Agong mengikut Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan. Kuasa tersebut tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan, dan mengikut peruntukan Jadual Kedua, kuasa ini boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Tetapi dengan undang-undang, Parlimen boleh juga memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang lain.

Apabila bertembung dengan situasi Yang Di-pertuan Agong tidak berupaya menjalankan tugas kerana sakit, tidak berada dalam negara Malaysia lebih daripada 15 hari, atau kerana sebab-sebab lain, maka Timbalan Yang Di-pertuan Agong selaku Timbalan Ketua Utama Negara bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Yang Di-pertuan Agong.

Kuasa eksekutif terbahagi pula kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri. Bidang kuasa kerajaan Persekutuan hanya bertumpu kepada Senarai Persekutuan, manakala bidang kuasa kerajaan Negeri pula terkandung dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Kedua-dua peringkat kerajaan ini bertanggungjawab menjalankan urusan-urusan pentadbiran dan pemerintahan. Mereka tidak melibatkan diri dalam urusan dan hal ehwal Perundangan dan juga Kehakiman.

Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, badan ini terdapat penjawat-penjawat yang tertentu di kedua-dua peringkat kerajaan. Mereka berperanan melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan. Jemaah Menteri (Kabinet) adalah Badan Pemerintah di peringkat Persekutuan, Badan Pemerintah di peringkat Negeri pula dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Yang Di-pertuan Agong 

Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong yang mengetuai tiga Badan Kerajaan utama iaitu Badan Pemerintahan, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman. Jawatan ini telah wujud sejak tahun 1957. Baginda merupakan Ketua Negara yang mengambil keutamaan mengatasi semua orang dalam Malaysia, dan dalam apa-apa  juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah tidak boleh dikenakan dakwaan. Raja Permaisuri Agong iaitu isteri Yang Di-pertuan Agong mempunyai keutamaan selepas Yang Di-pertuan Agong. Yang Di-pertuan Agong menjadi simbol keutuhan dan perpaduan rakyat bagi negara Malaysia.
Majlis Raja-raja  akan mengikut peraturan yang termaktub dalam Jadual Ketiga, Perlembagaan Persekutuan, untuk memilih Yang Di-pertuan Agong. Baginda akan memegang jawatan sebagai Yang Di-pertuan Agong selama 5 tahun, kecuali baginda meletak jawatan atau dilucutkan jawatannya oleh Majlis Raja-raja. Yang Di-pertuan Agong dipilh daripada 9 buah Negeri Melayu secara bergilir-gilir selama 5 tahun.

            Kuasa pemeritah yang dipegang sebagai Ketua Negara, Yang Di-pertuan Agong mempunyai kuasa memanggil, membatalkan dan membubarkan Parlimen. Baginda akan mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri semasa melaksanakan tugas. Terdapat tiga perkara yang boleh dilaksanakan mengikut budi bicara Yang Di-pertuan Agong sendiri, iaitu meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran atau kehormatan Raja-raja, melantik Perdana Menteri, dan tidak mempersetujui pembubaran Parlimen. Adalah tanggungjawab Yang Di-pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. Yang Di-pertuan Agong berperanan menentukan rizab orang Melayu dan bumiputera, biasiswa, bantuan istimewaan pendidikan atau latihan, jawatan perkhidmatan, kadar permit atau lesen, dan juga mengisytiharkan darurat.

            Selain itu, baginda mempunyai juga kuasa pengampunan bagi semua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan, dan kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Baginda juga adalah Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Yang Di-pertuan Agong merupakan Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata. Maka, baginda berkuasa menangguh atau mengampunkan sesuatu hukuman terhadap sesuatu kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera. Yang Di-pertuan Agong mempunyai kuasa lantik dan melucut jawatan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri setelah mendapat nasihat Perdana Menteri.

            Pada teorinya, Yang Di-pertuan Agong diberi kuasa eksekutif oleh Perlembagaan Persekutuan, tetapi sebenarnya, kuasa eksekutif dijalankan oleh Jemaah Menteri dan kakitangan Perkhidmatan Awam. Sekiranya baginda melakukan sesuatu kesalahan semasa menjalankan tugas rasmi, pihak yang terkilan boleh mendakwa Kerajaan Persekutuan (sebagai defeden). Ini bermakna Yang Di-pertuan Agong tidak mempunyai imuniti yang mutlak di sisi undang-undang. Ini menunjukkan setiap warganegara adalah tertakluk kepada undang-undang dan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen memelihara keadilan.

Jemaah Menteri (Kabinet)

Jemaah Menteri merupakan badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Yang Di-pertuan Agong. Yang Di-pertuan Agong hendaklah melantik barisan Jemaah Menteri untuk menasihatkan baginda dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugasnya menurut Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan. Jemaah Menteri bertanggungjawab membuat dasar tertinggi negara dan mengubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara.  Perdana Menteri merupakan Ketua Jemaah Menteri yang dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong daripada ahli Dewan Rakyat. Beliau juga hendaklah dipilih berdasarkan daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli dewan. Sekiranya, beliau gagal mendapat sokongan daripada ahli-ahli Jemaah Menteri, Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan.

Sebagai Ketua Jemaah Menteri, Perdana Menteri bertindak sebagai pengerusi dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan seminggu sekali pada setiap hari Rabu. Selain itu, Perdana Menteri bertindak sebagai Ketua Pentadbir Utama Negara dan juga Pegawai Diplomatik utama negara. Bagi memastikan dasar kerajaan, Perdana Menteri akan memberi arahan kepada jentera pentadbiran kerajaan di Peringkat Persekutuan dan Peringkat Negeri untuk melaksanakannya. Dengan ini, Jemaah Menteri merupakan satu badan yang berperanan untuk menasihati Yang Di-pertuan Agong dalam menjalankan tugas-tugas baginda dan menjalankan tugas-tugas sebenar bagi pihak baginda.

Atas nasihat Perdana Menteri, Yang Di-pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Maka, walaupun perkara ini tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi lazimnya semua menteri adalah ahli Jemaah Menteri. Tempoh memegang jawatan sebagai ahli Jemaah Menteri bergantung kepada selama mana ia diperkenankan oleh Yang Di-pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Namun begitu, seseorang Menteri itu boleh meletakkan jawatan secara sukarela atas sebab-sebab tertentu. Sebelum memegang jawatan, anggota tersebut hendaklah mengangkat sumpah jawatan iaitu sumpah rahsia dan sumpah taat setia, jika tidak, beliau tidak dibenarkan menjalankan tugas-tugasnya.

Perdana Menteri akan membuat peruntukan kementerian bagi Menteri-menteri yang telah dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong atas dasar kesesuaian tertentu. Atas nasihat Perdana Menteri, seorang Timbalan Menteri akan dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong demi membantu beliau. Biasanya, seorang anggota akan memegang satu kementerian, tetapi ada juga pengecualian yang seseorang anggota memegang lebih dari satu kementerian. Semasa mesyuarat diadakan, hal-hal seperti perlaksanaan dasar yang telah diputuskan atau masalah-masalah semasa yang dihadapi oleh kerajaan akan dibincangkan. Mesyuarat yang diadakan merupakan perbincangan yang penting dan tertutup.

Setiap kementerian bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan, merancang dan menyelaras program pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita. Selain diketuai oleh seorang Menteri, setiap kementerian akan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik. Sesebuah kementerian biasanya mempunyai jabatan pada peringkat pusat, negeri dan daerah. Jika seseorang Menteri tidak diberikan tugas dalam kementerian tertentu akan dikenali sebagai Menteri Tak Berportfolio, dan kementerian ini akan diberikan tugas-tugas khas oleh Perdana Menteri.

Segala pandangan anggota akan dikemukakan semasa mesyuarat diadakan, dan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat mestilah mendapat sokongan daripada semua Menteri. Setelah mencapai persetujuan, rancangan tersebut akan dibentangkan dalam Parlimen. Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab kepada Parlimen kerana mereka adalah terdiri  daripada Ahli Parlimen, maka menjadilah tanggungjawab mereka untuk mempertahankan tindakan yang diambil oleh kerajaan di Parlimen. Seseorang menteri merupakan pembawa usul atau rang undang-undang kerajaan, oleh yang demikian, peranan Menteri-menteri adalah penting.

Perkhidmatan awam

Perkhidmatan awam yang diketuai oleh Ketua Setiuasaha Negara bertanggungjawab mengawasi perjalanan kementerian dan jabatan kerajaan. Pada Peringkat Kementerian, pentadbirannya diketuai oleh Ketua Setiusaha Kementerian, beliau akan dibantu oleh kakitangan kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan pegawai perkhidmatan awam. Semua kakitangan ini bertanggungjawab melaksanakan dasar dan tugas yang ditetapkan oleh kerajaan. Bagi Jabatan Kerajaan pula, ia diketuai oleh Ketua Jabatan yang dikenali dengan gelaran Ketua Pengarah.

Terdapat juga badan-badan kerajaan yang dikenali sebagai Badan Berkanun, badan-badan ini merupakan badan separuh kerajaan yang mempunyai kuasa autonomi tertentu, dan mempunyai peruntukan kewangan sendiri. Badan Berkanun ini mempunyai berbagai-bagai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk mempercepatkan pentadbiran dan program pembangunan di bawah rancangan 5 tahun kerajaan. Badan ini ditadbir oleh sebuah Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan.

Majlis Raja-raja

Majlis Raja-raja mengandungi Yang Di-pertuan Agong dan semua Raja Melayu (kesemua 9 negeri Melayu), dan majlis ini ditubuhkan pada tahun 1948. Seperti yang tercatat dalam Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan, tugas majlis ini adalah:
a)      Memilih atau memecat Yang Di-pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-pertuan Agong bagi negara Malaysia mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga, Perlembagaan Persekutuan.
b)      Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa amalan, perbuatan atau upacara agama meliputi seluruh negara Malaysia.
c)      Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan menurut Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja atau yang dikehendaki dibuat selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
d)     Menimbangkan perkara-perkara berkaitan dengan dasar negara dan apa jua perkara yng difikirkan perlu.

Dalam proses pemilihan atau pemecatan Yang Di-pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-
pertuan Agong, hanya raja-raja berhak mengundi. Yang Di-pertuan Agong akan diiringi oleh Perdana Menteri manakala Raja-raja dan Yang Dipertua Negeri akan diiringi pula oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masins-masing, semasa Majlis Raja-raja membincangkan perkara yang berkaitan dengan dasar negara.

Ketua Audit Negara

Setelah berunding dengan Majlis Raja-raja, atas nasihat Perdana Menteri, Ketua Audit akan dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong. Tugas utama Ketua Audit ialah mengaudit dan membuat laopran mengenai Akaun Persekutuan, Akaun Negeri, Akaun Pihak Berkuasa Awam dan juga badan-badan lain yang mentadbir wang negara. Akaun-akaun tersebut perlu diaudit untuk memastikan bahawa semua perbelanjaan awam adalah dibuat dengan cara yang lengkap dan berkesan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh Parlimen. Di bawah peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara akan ditubuhkan bagi mempertimbangkan Laporan Ketua Audit.

Suruhanjaya

Terdapat dua jenis suruhanjaya tetap yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhan-suruhan Perkhidmatan awam. Suruhanjaya adalah berbeza dari komponen yang lain dari segi kebebasan untuk menjalankan tugas. Atas pertimbangan Yang Di-pertuan Agong, nasihat dari Perdana Menteri dan juga setelah berunding dengan Majlis Raja-raja, barulah pelantikan ahli-ahli akan dibuat oleh Yang Di-pertuan Agong.
Untuk mengendalikan urusan pelantikan ke dalam perkhidmatan awam, beberapa suruhanjaya telah ditubuhkan. Suruhanjaya inilah yang akan mengendalikan kenaikan pangkat kakitangan perkhidmatan awam, ia juga bertanggungjawab memantau disiplin kakitangan perkhidmatan awam. Contoh-contoh suruhanjaya adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-undang. Suruhanjaya sedemikian berbentuk tetap, dan tempoh lantikan adalah 5 tahun atau mengikut budi bicara Yang Di-pertuan Agong.
Terdapat juga suruhanjaya yang berbentuk sementara, suruhanjaya tersebut ditubuh khas oleh kerajaan khusus untuk mengkaji sesuatu masalah atau sesuatu perkara. Setelah suruhanjaya tersebut selesai membuat perakuan-perakuan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dikaji olehnya, ia akan dibubarkan.


Badan Perundangan (Legislatif)

Badan ini hanya berfungsi mengubal undang-undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat, dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak boleh mempunyai kuasa lain. Selain daripada mempunyai kuasa mengubal undang-undang Negara, Badan ini juga mempunyai kuasa mengubal undang-undang dalam negerinya. Terdapat tiga jenis undang-undang, undang-undang yang dibuat oleh Parlimen adalah Akta, undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri pula adalah Enakmen, bagi undang-undang yang dibuat oleh kerajaan Sarawak adalah Ordinan. 

Badan Perundangan boleh juga dikenali sebagai Parlimen Malaysia, ia terdiri daripada Yang Di-pertuan Agong dan dua Dewan yang dikenali sebagai Dewan Negara dan juga Dewan Rakyat. Kewangan kerajaan juga dikawal oleh Parlimen, hanya dengan kuat kuasa daripada Parlimen seperti yang dinyatakan dalam undang-undang persekutuan, barulah cukai-cukai dan kadar-kadar persekutuan boleh dinaikan. Setelah semua hasil yang diperoleh dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Persekutuan Yang Disatukan, perlukan lagi kuasa Parlimen supaya wang tersebut boleh dibelanjakan.

Dari segi teori pengasingan kuasa tidak terdapat pertindihan kepentingan atau kuasa antara Badan-badan utama ini, tetapi dalam kontek Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan yang unik ini terdapat sedikit kelainan. Kelain ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengizinkan Badan Pemerintah (Jemaah Menteri) bagi mengubal, meminda dan meluluskan undang-undang di atas nama Parlimen. Ini bermakna kuasa mengubal undang-undang menurut Perlembagaan telah diamanahkan kepada Badan Pemerintah. Namun begitu, undang-undang yang siap digubal tidak boleh dikuatkuasakan sehingga Yang Di-pertuan Agong memperkenankan dan bagi satu tempoh yang tertentu.

Yang Di-pertuan Agong

Dalam Badan Perundangan, Yang Di-pertuan Agong berada di kemuncak badan, akan tetapi, baginda tiidak terlibat dalam mengubal undang-undang. Tugas pengubalan undang-undang terletak di tangan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Seperti yang diperuntukan dalam Perkara 55, tugas Yang Di-pertuan Agong hanyalah memanggil Parlimen untuk bersidang, menamatkan penggal Parlimen, dan membubarkan Parlimen.Yang Di-pertuan Agong tidak mempengerusikan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tetapi baginda hanyalah menyampaikan titah semasa pembukaan rasmi penggal Parlimen, dan jug memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen atau kedua-dua majlis Parlimen bersama-sama.

Dewan Negara

Dewan Negara merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara, ia berperanan membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih terterinci. Perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum juga akan dibincang dalam Dewan Negara. Menurut Perkara 68, Perlembagaan Persekutuan, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum dikemukakan kepada Yang Di-pertuan Agong untuk diperkenankan. Dewan Negara hanya boleh menangguhkan pelaksanaan sesuatu rang undang-undang itu.

            Keanggotaan Dewan Negara telah ditentukan oleh Perlembagaan persekutuan Malaysia dalam Bahagian 4, Bab 4, Perkara 45. 26 orang ahli dipilih daripada 13 buah negeri dengan 2 orang setiap negeri, dan 2 orang ahli akan dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong untuk mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Ali yang selainnya akan dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong yang terdiri daripada warganegara yang pada pendapat baginda “telah berbakti dengan cemerlangnya atau telah mencapai taraf gemilang dalam perkhidmatan awam, perusahaan, pertanian, perdagangan, perkhidmatan masyarakat, kegiatan kebudayaan atau wakil-wakil kaum yang terkecil bilangan atau yang boleh mewakili kepentingan Orang Asli”.

            Terlebih dahulu, seorang Yang Di-pertua Dewan dan Timbalan Yang Di-pertua Dewan akan dilantik bagi mengendalikan persidangan Dewan dari kalangan ahli-ahli sendiri. Ahli-ahli yang dilantik telah dihadkan kepada warganegara yang berumur 30 tahun ke atas, dan tempoh jawatan seseorang Ahli Dewan Negara ialah 3 tahun. Ahli Dewan Negara boleh dilantik untuk kali kedua dan memegang jawatan tersebut bagi tempoh 3 tahun lagi, tetapi hanya 2 penggal sahaja dibenarkan bagi setiap ahli memegang jawatan tersebut. Pembubaran Parlimen tidak menjejaskan tempoh memegang jawatan sebagai ahli Dewan Negara. Perrlembagaan telah memberi kuasa terhadap Parlimen bahawa Parlimen mempunyai kuasa mengubah keahlian Dewan Negara, seperti menambah bilangan ahli-ahli dewan atau mengurang jumlah ahli-ahli Dewan Negara yang dilantik.

Dewan Rakyat

Ahli-ahli Dewan Rakyat dipilih secara langsung oleh rakyat dalam pilihan raya umum, maka, bolehlah dikatakan Dewan Rakyat merupakan majlis khas untuk rakyat menyuarakan pendapat dan hasrat serta mendapatkan pembelaan melalui wakil mereka. Dewan Rakyat merupakan komponen yang penting dalam Parlimen, ia melambangkan demokrasi kerana ia adalah dewan yang dianggotai oleh wakil rakyat yang memenangi kerusi dalam pilihan raya umum.

Yang Di-pertua dan Timbalan Yang Di-pertua dipilih oleh Dewan Rakyat. Akan tetapi, terdapat pula satu syarat dalam Perlembagaan yang membolehkan Yang Di-pertua dipilih dari luar Dewan Rakyat. Maka, satu tambahan kepada ahli yang dipilih dan orang yang dipilih seperti ini dianggap sebagai ahli tambahan. Ia bermakna jumlah keanggotaan dalam Dewan Rakyat boleh diubah melalui pindaan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.Tugas utama Dewan Rakyat adalah menggubal dan meluluskan undang-undang pada peringkat Dewan Rakyat, undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dinamai Akta.

            Ahli Dewan Rakyat dihadkan kepada warganegara yang berumur 21 tahun ke atas dan tidak boleh menjadi ahli Dewan Negara. Dewan Rakyat akan dianggotai oleh ahli yang telah dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum setiap 5 tahun. Walau bagaimanapun, hanya Yang Di-pertuan Agong mempunyai kuasa, untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh tersebut setelah memperoleh nasihat daripada Perdana Menteri. Pada masa ini, terdapat 222 orang yang mewakili kawasan pilihan raya di seluruh Malaysia. Pecahan kerusi Dewan Rakyat adalah 153 kerusi untuk negeri-negeri Semenanjung, 31 kerusi untuk Sarawak dan 25 kerusi untuk Sabah, sementara Wilayah Persekutuan pula 11 kerusi untuuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 kerusi untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan 1 kerusi untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya.

            Jika Ahli Dewan Rakyat mempunyai sabab-sebab yang terkandung dalam Perkara 48, Perlembagaan persekutuan, maka beliau akan kehilangan kelayakan sebagai anggota dewan. Sebab-sebab tersebut seperti:

a)      Tidak sempurna akal
b)      Mendapat kewarganegara negara lain
c)      Mengaku taat setia kepada negara lain
d)     Menggunakan hak-hak kewarganegara lain
e)      Muflis dan tidak dilepaskan oleh mahkamah
f)       Memegang apa-apa jawatan lain yang berpendapat
g)      Disabitkan dengan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun atau denda tidak kurang RM 2000.00
h)      Gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihan raya dalam masa yang telah ditetapkan apabila dilantik sebagai ejen pilhan raya Syarat tambahan yang menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Rakyat seperti meletak jawatan dengan kehendak sendiri, tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama 6 bulan, gagal mengangkat supah di hadapan Yang di-pertua Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh persidangan yang pertama Dewan Rakyat.

            Yang Di-pertua Dewan Rakyat akan dibantu oleh 2 orang Timbalan Yang Di-pertua dan seorang setiausaha, beliau tidak boleh menjadi ahli lembaga pengarah atau ahli lembaga pengurusan, pegawai atau pekerja atau terlibat dalam sesuatu urusan pertubuhan atau badan sama ada diperbadankan atau lain-lain pengusahaan sama ada mendapat pendapatan ataupun tidak mendapat pendapatan atau faedah daripadanya.

Proses Penggubalan Undang-undang

Proses penggubalan undang-undang dijalankan dengan teliti demi menjamin kelancaran perlaksanaan undang-undang di seluruh persekutuan. Bab 5 Acara Perundangan, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan cara dan peraturan yang tertentu bagi Parlimen membuat undang-undang.

            Pada peringkat awalnya, sesebuah kementerian perlu merangka dasar-dasar yang berkaitan dengan sesuatu Rang Undang-undang yang hendak dibentangkan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Semasa membuat rangka dasar atau Rang Undang-undang, kementerian berkenaan perlu berunding dengan Perbendaharaan, Jabatan Penguam Negara atau kementerian-kementerian lain yang ada kaitan dengan Rang Undang-undang tersebut.

            Setelah semua pihak yang berkaitan bersetujui, draf Rang Undang-undang perlu disediakan oleh Jabatan Peguam Negara. Seterusnya, draf Rang Undang-undang tersebut akan dikemukakan kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan badan tersebut. Notis pemberitahuan akan dihantar oleh menteri berkenaan kepada kedua-dua majlis Parlimen setelah kelulusan daripada Kabinet. Kemudian, Rang Undang-undang tersebut akan dicetak oleh Jabatan Percetakan Negara untuk diedarkan kepada semua ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

            Bagi mendapatkan kelulusan daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat, pembentangan Rang Undang-undang akan dilakukan dalam kedua-dua Majlis Parlimen tersebut. Rang Undang-undang tersebut akan dibaca mengikut peringkat sebelum diluluskan. Dalam Bacaan Kali Pertama, Setiausaha Dewan Rakyat akan membacakan tajuk ringkas Rang Undang-undang tersebut sahaja. Bacaan Kali Kedua adalah peringkat yang sangat penting, kerana Rang Undang-undang tersebut akan dibahaskan secara mendalam oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dengan menimbangkan semua aspek kebaikan, keburukan, kesan dan pengaruhnya terhadap rakyat dan negara. Semua soalan dan kemuskilan yang dikemukakan oleh ahli-ahli dewan, Menteri berkenaan yang bertanggungjawab memberi jawapan dan penjelasan.

            Perbincangan secara terperinci Rang Undang-undang akan dilakukan pada peringkat Jawatankuasa di Dewan Negara. Kemudiannya Bacaan Kali Ketiga akan dilakukan, Rang Undang-undang tersebut akan dikemukan semula oleh Menteri berkenaan di Dewan Rakyat untk mendapatkan kelulusan. Setelah mendapat kelulusan, Rang Undang-undang tersebut akan dibawa ke Dewan Negara untuk dibentang, dibahaskan dan diluluskan.

            Walaupun Rang Undang-undang tersebut telah mendapat kelulusan di dewan Rakyat, tetapi di Dewan Negara, Rang Undang-undang tersebut akan mengikut proses yang sama  seperti mana yang dilakukan di Dewan Rakyat iaitu Bacaan Kali Pertama, Bacaan Kali Kedua dan Bacaan Kali Ketiga sebelum diluluskan. Setelah mendapat kelulusan dari kedua-dua Dewan, Rang Undang-undang tersebut masih perlukan persetujuan dari Yang Di-pertuan Agong sebelum ia diperkenankan menjadi undang-undang. Untuk memperkenankan undang-undang Yang Di-pertuan Agong akan menurunkan cop mohor Negara. Ketelitian proses adalah bertujuan memastikan supaya undang-undang yang dikuatkuasakan itu tidak merugikan mana-mana pihak, sebaliknya menjaga kepentingan rakyat dan negara.


Badan Kehakiman (Judsiari)

Badan ketiga dalam sistem kerajaan Malaysia adalah Badan Kehakiman. Badan Kehakiman melaksanakan tugas kehakiman dan kuasanya terletak pada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Badan ini berperanan sebagai pelindung hak-hak asasi manusia daripada pencabulan oleh pihak kerajaan ataupun orang perseorangan. Seperti yang termaktub dalam Perkara 126, 128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kehakiman juga terletak pada Mahkamah Agung. Badan Kehakiman mempunyai kuasa mendengar serta menentukan perkara jenayah dan sivil. Perkara jenayah adalah melibatkan kanun keseksaan, manakala perkara sivil pula berkaitan dengan saman dan biasanya memerlukan afidavit.

Selain itu, Badan Kehakiman mempunyai kuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Badan Kehakiman boleh juga menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh Badan Pemerintah dan Badan Perundangan. Mahkamah yang mengisytiharkan undang-undang bertulis Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan. Bagi sesuatu tindakan kerajaan yang tidak sah di sisi undang-undang, hanya Badan Kehakiman yang mempunyai kuasa mengisytiharkannya. Mahkamah tiada kuasa meminda undang-undang, kerana perkara tersebut merupakan kuasa Badan Perundangan (Parlimen).

Dengan kata lain, Badan Kehakiman bertindak sebagai satu intitusi yang menjaga keluhuran Perlembagaan dan memelihara keseimbangan kuasa antara Badan Pemerintah dan Badan Perundangan. Peranan kedua bagi Badan Kehakiman adalah menjaga keadilan. Hukuman dan keadilan yang diputuskan oleh Badan Kehakiman tidak mengira atau dipengaruhi oleh status, darjat, bangsa, agama atau keturunan seseorang. Hakim yang dilantik oleh Yang Di-pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri tidak dibenarkan bergiat dalam politik.

Hakim

Yang Di-pertuan Agong yang melantik Ketua Hakim Negara, Kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak serta Hakim-hakim Besar Mahkamah Persekutuan dan Hakim-hakim lain Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri serta selepas berunding dengan Majlis Raja-raja. Semua urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan perlucutan jawatan terletak di bawah kuasa Yang Di-pertuan Agong. Hakim-hakim akan memegang jawatannya sehingga mencapai umur persaraan 65 tahun, tempoh ini boleh dilanjutkan, tetapi tidak boleh melebihi 6 bulan. Seseorang hakim boleh meletakkan jawatan secara sukarela. Seseorang hakim akan dilucutkan jawatan atas sebab-sebab berikut:

a)      Melanggar Kod Etika Hakim, 1994
b)      Berkelakuan tidak baik dan tidak berupaya
c)      Atas alasan kelemahan tubuh badan atau otak
d)     Apa-apa sebab lain yang menjejaskan mereka untuk menjalankan tugas-tugas dengan sempurna
Seseorang Hakim tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik supaya beliau
dijamin dilindungi daripada pengaruh politik.

Hieraki Mahkamah-mahkamah

Fungsi Badan Kehakiman bergantung pada taraf mahkamah, seperti Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah dan Mahkamah Agong. Terdapat dua buah Mahkamah Tinggi iaitu Mahkamah Tinggi Malaya yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia ,dan Sabah dan Sarawak. Mahkamah Rendah pula terdiri daripada Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu di Semenanjung Malaysia, manakala Mahkamah Adat/Negeri bagi Sabah dan Sarawak. Hanya Mahkamah Juvana boleh membicarakan kanak-kanak dan mereka yang di bawah umur 18 tahun.

Bibliografi

Abdul Aziz Bari (2002). Majlis Raja-raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Sanusi Ahmad (1987). Kerajaan, Pentadbiran dan Rakyat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jabatan Penerangan Malaysia (2011). Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan. Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan Malaysia.

Kassim Tukiman (2002). Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Tengku Anuar Tengku (1997). Asas-asas Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: al-Azim Sdn. Bhd.

KESIMPULAN
Pengamalkan sistem demokrasi berparlimen susungguhnya mendatangkan bayak kebaikan kepada rakyat.Melalui demokrasi berparlimen,wujudnya seorang raja,manakala kerajaan dipilih oleh rakyat.

ULASAN
  • Malaysia merupakan negara yang berdaulat
  • Malaysia telah terkenal di mata dunia
  • Kestabilan politek hasil kestabilan sistem pemerintahan 
  • Generasi harus menghormati sistem pemerintah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan